KOTA KINABALU: Rakyat Sabah mahu hak mereka seperti dijanjikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan dan bukannya “gula-gua pilihan raya” seperti jawatan timbalan perdana menteri, kata Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman.
Malaysiakini melaporkan Azis, dalam satu kenyataan semalam berkata, Presiden Warisan Mohd Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pernah menolak jawatan timbalan perdana menteri, yang didakwa ditawarkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mereka menjadi perdana menteri.
“Apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.
“Ini kerana kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak akan bertambah baik dengan mengambil kira salah laku dan amalan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme yang berleluasa di negara ini,” kata Azis.
Parti politik dan aktivis dari Sabah dan Sarawak telah mendesak penurunan kuasa yang lebih besar dan penyaluran sumber negara ke dua negeri itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perdebatan mengenai MA63 hangat diperkatakan termasuk 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
BN dan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk mencipta sejarah dengan melantik timbalan perdana menteri seorang dari Sabah dan Sarawak sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum.
Sementara itu, Azis berkata tawaran itu adalah satu penghinaan kepada Sabah dan Sarawak kerana BN dan PN seperti cuba menggambarkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak tidak layak menjadi perdana menteri.
“Adakah ini bermakna wakil dari Sabah dan Sarawak tidak layak memegang jawatan perdana menteri pada masa hadapan? Adakah ini bermakna hanya orang Malaya berhak ke atas jawatan nombor satu negara itu?” katanya lagi.
Azis mengingatkan pengundi bahawa BN dan PH telah memungkiri janji mereka kepada Sabah sebelum ini.
Katanya, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Januari 2020 semasa pilihan raya kecil Kimanis telah berjanji kepada Sabah dan Sarawak bahawa MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya apabila BN kembali berkuasa.
Begitu juga dengan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang turut menjanjikan Sabah menerima lebih banyak sumber daripada kerajaan persekutuan.
“Namun janji hanya tinggal janji,” kata Azis.