Rakyat Sabah diharap raikan kepelbagaian perayaan agama, kaum

Kongsi Bersama

TAWAU: Semua rakyat di Sabah diharap dapat bersama-sama meraikan kepelbagaian perayaan yang disambut bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sambutan perayaan kaum dan agama adalah salah satu keunikan yang ada di Malaysia khususnya di negeri ini.

Katanya, kepelbagaian anutan agama dan kaum bukanlah dianggap sesuatu perbezaan yang boleh memecahbelahkan, tetapi ia merupakan medium penyatuan semua rakyat di negara ini.

“Kita sangat beruntung kerana di Sabah mempunyai kepelbagaian perayaan agama dan kaum yang boleh diraikan bersama-sama tanpa sebarang masalah.

“Justeru, saya melihat sambutan sesuatu perayaan yang diadakan secara bersar-besaran adalah petunjuk bahawa rakyat Sabah khususnya di Tawau hidup bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merasmikan sambutan Karnival Krismas Peringkat Daerah Tawau, di sini pada Ahad lepas.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, sambutan perayaan secara terbuka ini perlu diteruskan supaya Sabah kekal menjadi contoh terbaik dalam soal perpaduan kaum.

“Pertelingkahan atau ekstrem agama hanya merugikan negara dan rakyat kerana ia boleh menyebabkan berlakunya pergolakan dalaman, sekali gus mudah untuk dijajah oleh pihak luar.

“Kita dapat lihat negara-negara bergolak ketika ini, ia bukan sahaja merosakan harta benda, malah banyak meragut nyawa yang tidak berdosa,” katanya.

Sementara itu, Nizam menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan gereja-gereja di Tawau kerana berjaya berkolaboratif menganjurkan Karnival Krismas itu.

Katanya, karnival itu dilihat telah mendapat sambutan yang sangat luar biasa dengan kehadiran ramai penduduk berbilang kaum dan agama.

“Sambutan ini menunjukkan walaupun penduduk di perbandaran Tawau mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi mereka boleh hidup secara harmoni dan menerima kepelbagaian yang ada.

“Saya berharap perayaan-perayaan yang lain akan datang dapat menganjurkan sambutan seumpama ini supaya rakyat dapat berkumpul dan meraikan bersama-sama,” katanya.

Terdahulu, Nizam turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada penganjuran Karnival Krismas yang disambut kali ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top