KOTA KINABALU: Sebarang langkah untuk mengambil alih kerajaan negeri akan ditolak oleh majoriti rakyat Sabah, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau menegaskan mana-mana puak yang berhasrat untuk mengambil alih kerajaan negeri perlu menunggu sehingga pilihan raya akan datang untuk menentukan sama ada mereka mendapat sokongan rakyat.
“Mengapa membuat rancangan untuk menggulingkan kerajaan negeri pada masa yang sepatutnya difokuskan untuk menyegera dan mempergiatkan usaha membangunkan negeri?”
Joniston berkata demikian bagi mengulas mengenai desas-desus tentang menjatuhkan kerajaan Sabah yang tersebar di media sosial.
Pada hari Rabu, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataannya menyentuh mengenai kumpulan tertentu yang dikatakan sedang merancang untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Masidi berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri kekal stabil dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor masih mendapat sokongan majoriti.
Bercakap pada program bertemu rakyat di Kampung Romokon di Kiulu, Joniston berkata majoriti rakyat Sabah menentang sebarang rancangan atau tindakan untuk menggulingkan kerajaan negeri sekarang.
“Jangan kita lupa keputusan pilihan raya negeri ke-16 (PRN 16) pada 2020 di mana parti yang menggulingkan kerajaan negeri yang sah melalui pembelotan (telah) ditolak,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Pada PRN yang disebut oleh Joniston itu, Parti Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tewas.
Joniston berkata sebarang langkah yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik di Sabah harus dielak dan sebaliknya semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan.
“Janganlah kita ganggu kerja-kerja baik dan produktif yang kerajaan negeri sekarang lakukan.
“Adalah dikesalkan bahawa pihak tertentu nampaknya tidak pernah berhenti menggugat kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.”
Joniston, yang juga ketua penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ADUN Kiulu, berkata Sabah di bawah kepimpinan Hajiji antara lain telah menyaksikan pertumbuhan yang sangat pesat termasuk mencatatkan hasil negeri tertinggi iaitu sebanyak RM6.6 bilion pada 2022.
Selain itu, peruntukan tahunan ADUN tahun ini dinaikkan kepada RM3 juta, dengan RM2.5 juta diperuntukkan untuk projek kecil dan RM500,000 untuk program sentuhan kasih.