BEAUFORT : Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort, Mohd Fadzli Misdeh (gambar) memuji pendekatan proaktif Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin merangkap Menteri Kerja Raya atas tindakan pantas beliau dalam menangani sebarang masalah rakyat terutama membabitkan soal keperluan rakyat.
Beliau percaya rakyat amat berterima kasih kepada Bung, kerana bukan sahaja pantas tetapi juga sanggup turun padang meninjau permasalahan yang dilalui rakyat untuk diambil tindakan seterusnya menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.
Hasil lawatan Bung ke Loji Rawatan Air Beaufort di Jempangah dekat sini pada minggu lepas, memberi gambaran jelas bahawa beliau amat prihatin terhadap situasi yang dilalui rakyat di Beaufort dengan mengemukakan beberapa cadangan yang dilihat dapat mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah itu.
Justeru Fadzli berharap kerajaan bukan sahaja mempertimbangkan cadangan itu tetapi juga mempercepatkan pelaksanaannya demi mengatasi masalah berkenaan memandangkan rakyat di daerah itu sering berdepan dengan gangguan bekalan air sehingga menjejaskan aktiviti harian masyarakat.
Tambahnya lagi, cadangan Bung itu amat sesuai dan baik untuk dilaksanakan di Loji Rawatan Air Beaufort kerana sudah terbukti berkesan apabila konsep itu turut digunapakai di Loji Rawatan Air Lawa, Gadong yang sehingga kini tidak pernah mengalami gangguan membekalkan air ke Wilayah Persekutuan Labuan walaupun ketika banjir dan kemarau.
Pada Rabu minggu lepas, Bung bersama Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo dan Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerja Raya Sabah, Hassan Mahali telah mengadakan lawatan kerja ke Beaufort bagi meninjau permasalahan air di daerah itu.
Sebelum Beaufort, Bung turut turun padang ke Sepanggar pada Ahad bagi meninjau kemajuan projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 bagi memastikan ianya tidak lagi tertangguh serta dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sumber: Utusan Borneo