PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno Sabah menggesa kerajaan negeri memfokuskan usaha menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta jalan raya baik berbanding memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Ketua Umno Putatan Jeffery Nor Mohamed mengakui cadangan menubuhkan syarikat penerbangan komersial baharu di Sabah adalah baik namun masanya tidak sesuai.
“Adakah memiliki syarikat penerbangan sendiri perlu diutamakan berbanding membaiki kemudahan di Sabah?
“Perlu diingat rakyat Sabah kini berdepan masalah bekalan air dan elektrik yang kritikal,” katanya menurut Daily Express.
Kenyataan itu menyusul pengumuman Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB), Kenny Chua bahawa syarikat penerbangan milik negeri itu dijangka mula beroperasi tahun depan.
Chua berharap dapat memeterai perjanjian sewaan sekurang-kurangnya tiga pesawat menjelang akhir tahun ini, tidak terhad kepada Airbus atau Boeing. Katanya, Sabah memerlukan syarikat penerbangan dan hab terminal kargo sendiri.
Tetapi, Jeffery mempersoalkan sama ada pengumuman Chua itu susulan reaksi mengejut terhadap pengambilalihan MASwings oleh Sarawak.
Katanya, memulakan syarikat penerbangan baharu bermakna kerajaan Sabah perlu bermula dari bawah berbanding MASwings yang sudah memiliki aset serta kebenaran berlepas dan mendarat di lapangan terbang.
Pengarah pilihan raya Umno Sabah itu turut mempersoalkan saingan sengit bakal dihadapi syarikat penerbangan Sabah dengan syarikat lain seperti AirAsia, Batik Air, Malaysia Airlines dan MyAirlines. – FMT