Rakyat Perlu Bangkit, Buat Perubahan Pada PRN Johor – Shafie

shafie.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

PASIR GUDANG: Rakyat perlu bangkit dan berani membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menukar kerajaan sebelum ini kepada kerajaan baharu yang bersih, ‘segar’ dan berwibawa.

Menurut laporan Sinar Harian, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa, rakyat sudah bosan dengan kepimpinan sebelum ini apabila mereka masih dibelenggu dengan masalah pengangguran hingga ada yang terpaksa mencari kerja di Singapura.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, rakyat perlu sedar mereka mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan wakil rakyat atau kerajaan yang akan memerintah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jika nak ubah pemerintahan harus bermula di Johor. Rakyat perlu tahu mereka boleh mengubah landskap politik. Sudah sampai masanya rakyat bangkit dan melakukan perubahan.

Rakyat jangan merungut atau mengkritik sahaja, mereka perlu lakukan perubahan. Bukan UMNO, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang boleh mengubah tetapi rakyat yang mampu mengubah landskap politik, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penamaan calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Mohamed Ridza Busu, 54, di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini pada Sabtu.

Kerusi DUN Permas menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Mohamed Ridza, Tazul Arifin Nasri (Perikatan Nasional); Baharudin Mohd Taib (BN); Syed Othman Syed Abdullah (PH) dan Mahaya Ahad (Parti Pejuang Tanah Air).

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, PRN Johor adalah titik permulaan untuk mengubah pentadbiran negeri sebelum disambung dan direalisasikan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ditanya mengenai peluang Warisan yang bertanding di kerusi DUN Permas, Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya dan Bukit Batu, beliau berkata, pihaknya yakin menang di kerusi yang ditandingi.

Beliau mengambil contoh, semasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan sebelum bertanding dan menang PRU14, Bersatu merupakan satu parti politik baharu tetapi dapat diterima rakyat.

Katanya, begitu juga dengan Warisan yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya di luar Sabah iaitu tempat kelahiran parti itu dan percaya mampu mencipta kejutan serta memberi saingan.

Secara tidak langsung juga katanya, Warisan sudah ada jentera dan ahli di peringkat akar umbi di negeri ini sekali gus menjadi persediaan parti tersebut dalam menghadapi PRU15.

Mengenai dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Warisan menyertai PRN Johor tanpa mempunyai agenda, beliau menyifatkan bekas Menteri Johor itu sudah ‘ketinggalan’.

Sudah saya nyatakan beberapa kali ini sebelum ini bahawa agenda kita adalah untuk membawa perubahan dalam landskap politik negeri dan negara. Mungkin Khaled Nordin hanya nampak peluang projek dan jawatan sahaja, dakwanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top