KOTA KINABALU: Kekalahan pembangkang pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) petanda jelas bahawa bukan khemah besar yang rakyat mahukan sebaliknya, perubahan dalam kepimpinan.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat sudah putuskan semasa PRN Melaka dan Sarawak yang mana, pembangkang bergabung di bawah satu khemah besar namun, mereka kalah.
“Kita tidak boleh terlalu fikirkan khemah besar, ada khemah besar di Melaka kita kalah, ada khemah besar di Sarawak juga kalah. Kenapa begitu? Saya rasa rakyat sudah putuskan bahawa tiada pilihan di situ.
“Maka, kita harus melihat perkara itu, apa yang tidak kena dengan pendekatan itu,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Tanjung Aru kelmarin.
Menurut beliau, tidak boleh menggesa rakyat untuk menerima apa yang parti-parti politiik inginkan sebaliknya, pemimpin politik harus sesuaikan diri dengan kehendak rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, fikirkan apa yang rakyat mahu, bukannya apa yang mereka selaku pembangkang inginkan. Pada masa ini rakyat sedang berhadapan masa yang amat sukar kerana tiada pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Justeru itu, masalah yang dihadapi rakyat itu seharusnya diberi perhatian bukannya memaksa mereka mengikut kehendak politik.
Jelasnya, perkara pokok yang harus dilihat sekarang bukan soal khemah besar tetapi, apa yang rakyat mahukan adalah pilihan.
“Mereka mahu perubahan kepimpinan. Lihat apa berlaku di Pakistan sekarang, apa berlaku di Indonesia, mereka mahu perubahan mereka mahu jokowi
“Jangan paksa orang, saya tahu itu bukan parti saya maka, terpulang kepada PH untuk memutuskan apa mereka mahu. Jangan salahkan kita sebab keputusan rakyat, jika rakyat tidak undi mereka bukannya salah saya.
“Rakyat mahu sesuatu yang berbeza, mereka mahukan perubahan, bukan sekadar kata-kata tapi amalan,” ujarnya.
-Borneo Today