Rakyat Indonesia di Sabah antara pengundi luar negara terbesar Pemilu Indonesia 2024

Pemilu-2024.jpg

Foto: BERNAMA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rakyat Indonesia di Sabah menjadi antara pengundi terbesar luar negara dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2024, lapor HMetro.

Menurut akhbar itu lebih 98,000 rakyat negara itu di Sabah layak mengundi.

Ketua Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu Marwan Wardhana berkata, proses pengundian di Sabah sudah bermula pada 4 Februari lalu menerusi kaedah Suara Kotak Keliling (KSK).

Katanya, ia kemudian disusuli proses pemilihan langsung melalui Tempat Pemungutan Suara Luar Negeri (TPSLN) yang diadakan serentak semalam.

“Total yang mengundi di seluruh Sabah ialah 98,669 pemilih. Jumlahnya sangat besar tapi sebahagian kami sudah melaksanakan (pemilihan) melalui kaedah Suara Kotak Keliling (KSK) sejak 4 Februari hingga 10 Februari.

“Alhamdulillah tiada yang tergendala, paling pun hujan dan hari ini juga alhamdulillah cuaca cerah, mudah-mudahan berjalan lancar sampai selesainya pemilihan ini.

“Pada hari ini proses pengundian bermula pada 8 pagi dan selesai pada 6 petang,” katanya yang ditemui pada proses Pemilu Indonesia bagi kawasan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Menurut Marwan, bagi kawasan Kota Kinabalu, seramai 2,811 orang layak mengundi, masing-masing 1,973 orang di pejabat KJRI di Karamunsing, manakala 838 orang lagi di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu di Sepanggar.

Beliau berkata, di bawah PPLN Kota Kinabalu, pihaknya turut mengendalikan proses pemilihan rakyat Indonesia dia daerah Sook, Nabawan, Keningau, Sipitang, Wilayah Persekutuan Labuan, Beaufort, Tuaran, Kota Marudu, Pitas hingga ke Kinabatangan.

“Bagi kawasan berhampiran sempadan seperti Kalabakan dan Lahad Datu, proses pemilihan dikendalikan KJRI Tawau,” katanya.

Secara keseluruhan, lebih 200 juta rakyat Indonesia di seluruh wilayah negara itu layak untuk mengundi pada pilihan raya berkenaan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top