Rakyat Dapat Manfaat Jika Matunggong Jadi Daerah Penuh

matunggong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Matunggong mempunyai potensi ekonomi yang besar jika dinaik taraf menjadi sebuah daerah penuh dan manfaatnya akan dinikmati oleh rakyat.

Ahli Dewan Undangan Rakyat (ADUN) Matunggong Datuk Julita Majungki berkata, pada masa ini kajian penuh untuk menaik taraf Matunggong dari daerah kecil kepada daerah penuh akan dimulakan dalam masa terdekat.

Katanya, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Katanya, penduduk Matunggong sendiri mengimpi ia dinaikkan taraf sebagai daerah penuh kerana bakal memberikan manfaat yang cukup besar terutama dalam pembangunan ekonomi dan urusan harian penduduk.

“Sudah tiba masanya Daerah Kecil Matunggong dinaik taraf demi kebaikan rakyat daripada 157 kampung yang ada sekarang ini.

“Matunggong yang mempunyai lebih kurang 35,000 penduduk terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik seperti Rungus yang merupakan penduduk majoriti (70 peratus), Bajau (15 peratus), Irranun/Ubian (10 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Katanya, selama ini Matunggong berada di bawah pentadbiran daerah Kudat dan sebahagian kampung yang lain pula di bawah pentadbiran daerah Kota Marudu.

Katanya, kajian yang bakal dilakukan itu akan mengambil kira anjakan pembangunan di kawasan ini, penetapan sempadan dan kesan terhadap daerah Kudat dan Kota Marudu.

“Semua itu diambil kira dan pada dasarnya daerah Kudat dan Kota Marudu tiada halangan untuk menyokong pewujudan daerah Matunggong,” kata Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, kajian itu mengambil masa lebih kurang enam bulan akan dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) melibatkan temuramah jabatan serta penduduk dalam kawasan tersebut.

Sebelum itu Julita menghadiri Mesyuarat Khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kudat, Ahmad Shah Mohd. Sunoh.

“Kita yakin Matunggong mempunyai potensi ekonomi yang besar jika dibangun secara menyeluruh,” katanya.-pr/BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top