Rakan Berbohong Guna Komputer Buat Draf Surat Sokongan – Peter Anthony

peter.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony, semalam, memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa Mohd Shukur Mohd Din tidak pernah datang ke pejabatnya dan menggunakan komputernya membuat draf surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E), di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter, 51, berkata, keterangan Shukur bahawa dia membuat draf surat sokongan tanpa tajuk yang kemudian ditinggalkan dalam komputer adalah pembohongan kerana rakannya itu tidak pernah datang ke pejabat beliau di Plaza Damai, Kota Kinabalu, untuk berbuat demikian.

“Keterangan saksi pendakwaan ketiga itu bahawa dia datang semula ke pejabat untuk mengambil surat berkenaan daripada saya yang telah dicetak juga satu pembohongan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam S Devanandan, yang mewakili beliau, pada hari pertama prosiding membela diri terhadap pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja M&E.

Peter berkata, beliau jarang berada di pejabat dan hanya terdapat sebuah komputer yang sering digunakan oleh setiausahanya setiap hari.

Disoal sama ada setiausaha atau kerani beliau pernah memaklumkan mengenai kehadiran Mohd Shukur ke pejabatnya, Peter menjawab ‘tidak pernah’.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah berdasarkan keterangan Shukor, Peter memalsukan dokumen itu kerana tertuduh yang menaip tajuk pada surat tersebut saksi berkenaan mengosongkan bahagian kepala draf surat sokongan yang ditinggalkan dalam komputer di pejabat beliau namun keesokannya mendapati ia telah diisi dengan tarikh, tajuk dan kandungan.

Peter juga berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pegawai atasan UMS menyediakan surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem M&E di universiti itu.

Menyentuh notis tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diserahkan kepadanya, Peter berkata, beliau enggan menandatangani notis itu kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan sejak 2014.

“Semasa dipanggil ke pejabat SPRM Sabah, pegawai SPRM memaklumkan kepada saya mengenai tangkapan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. Fikiran saya agak bercelaru kerana saya tidak bersetuju dengan tuduhan mengikut seksyen tersebut.

“SPRM memaklumkan bahawa mereka akan memasukkan saya ke dalam lokap SPRM namun jika saya membayar wang jaminan RM10,000, saya akan dilepaskan. Saya membayarnya dan saya dilepaskan,” katanya.

Ketika disoal sama ada Peter bertanya kepada pegawai SPRM selepas menerima notis tangkapan itu, Peter menjawab “Ada, dan pegawai itu hanya menyatakan seksyen itu adalah (berkaitan kesalahan) memberi rasuah atau suapan wang namun tidak memberitahu kepada siapa saya memberi suapan tersebut.”

“Saya tidak pernah sama sekali memberi suapan kepada mana-mana pihak sebelum ini,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung hari ini.

Pada 14 Dis 2021, Mahkamah Sesyen memerintahkan Peter untuk membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top