Rakaman audio rasuah: Sabah sedia beri kerjasama penuh, tiada apa disembunyikan

hajiji-2.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung isu rakaman audio yang tular mengenai perbincangan rasuah yang didakwa melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Bercakap kepada media di Papar, Ketua Menteri , Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai rakaman itu dan meminta pihak berkaitan untuk menyiasat berkenaan perkara terbabit.

“Kita minta pihak berkuasa menyiasat perkara ini. Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh.

“Namun, saya juga menyeru agar pemberi rasuah disiasat kerana mereka mempunyai niat buruk untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.

“Apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio) jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berniat untuk berselindung dan bersedia menghadapi sebarang siasatan.

“Saya tidak bimbang kerana kerajaan berada dalam keadaan stabil dan berfungsi dengan baik. Tuduhan tersebut hanyalah dakwaan semata-mata.

“Laporkan kepada SPRM, kami tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan,” tambahnya.

Baru-baru ini, sebuah portal dalam talian melaporkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video melibatkan beberapa Adun yang dikatakan berbincang mengenai rasuah sebagai balasan untuk mendapatkan projek di negeri tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak, termasuk pemberi maklumat yang mendakwa memiliki rakaman berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa peguam kepada pemberi maklumat tersebut telah bertemu pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top