Rahsia ‘Wawa’ Terbongkar Selepas Kena Tangkap

tangkap-basah.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Seorang lelaki ‘ditangkap basah’ bersama seorang pondan ketika berdua-duaan dalam kenderaan di Pantai Pasir Putih, dekat sini, semalam.

Dalam Op Tahun Baru bermula kira-kira 10.30 malam itu, pasangan berkenaan dilaporkan berusia dalam lingkungan 20 tahun.

Lelaki yang enggan dikenali dan masih menganggur itu mengakui dia baru mengenali ‘wanita’ dengan nama Wawa berkenaan melalui aplikasi Michat pada semalam.

Kemudian mereka berjanji temu sempena meraikan ambang Tahun Baru 2021.

“Saya baru mengenali dia pada semalam melalui aplikasi Michat. Dia menggunakan nama Wawa dan gambarnya juga seorang wanita.

“Sebelum kehadiran polis, kami sebenarnya baru berjumpa dan ketika awal bercerita saya ada mengesyaki dan bertanya sama ada dia wanita sebenar atau bukan.

“Dia memberitahu dia adalah wanita sebenar dan saya mempercayainya. Tapi apabila sudah ditangkap dan berada di balai polis barulah saya menyedari identiti sebenarnya adalah lelaki,” katanya ketika ditemubual media di Balai Polis Sandakan, awal pagi tadi.

Sementara itu, Pegawai Tadbir, Jabatan Hal Ehawal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, sebaik cuba diperiksa, pemuda dan pasangannya cuba melarikan diri.

“Namun, mereka berjaya ditahan semula di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.

“Hasil siasatan awal, pemuda itu tidak mengetahui pasangannya adalah seorang pondan,” katanya.

Romzi berkata, dalam pada itu, pihaknya turut menahan empat orang lagi lelaki berperwatakan wanita di sebuah hotel bajet.

“Tiga daripadanya dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan disyaki ‘jual diri’ melalui aplikasi Wechat dengan bayaran RM200.

“Keseluruhan tangkapan seramai 16 orang termasuk tiga pasangan lelaki dan wanita tanpa hubungan sah dalam bilik hotel bajet,” katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sandakan dengan menggunakan van jenazah.

Terdahulu, operasi bermula 10.30 malam, semalam itu berakhir kira-kira 3 pagi tadi.

Lokasi serbuan iaitu di Pantai Pasir Putih, Jalan Coastal, Harbour Square Sandakan dan hotel bajet di kawasan Batu Empat.

Ia membabitkan lebih 40 penguat kuasa JHEAINS Sandakan bersama anggota Balai Polis Sandakan. – HMetro


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top