KOTA KINABALU: Sebut sahaja nama Datuk Hajiji Noor, sudah pasti rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman mengenali sosok pemimpin itu yang terkenal dengan sikap merendah diri, sentiasa tenang dan murah senyuman.
Pembawaannya yang bersahaja, ramah serta lembut dalam berbicara membuatkan Hajiji, 65, anak jati Tuaran daripada suku kaum Bajau Sama itu mudah didampingi kerana penduduk kampung tidak berasa kekok untuk bersemuka mahupun berbual bersama beliau dengan penuh rasa hormat.
Walaupun tergolong antara pemimpin utama di Sabah, Hajiji tidak pernah menjadikan jawatan yang digalasnya sepanjang berkecimpung dalam arena politik negeri sebagai tembok penghalang untuk beliau terus dekat dengan rakyat terutama di DUN Sulaman.
“Paling penting ialah wakil rakyat itu memberi khidmat kepada rakyat. Apa juga masalah rakyat mesti dibawa dan diketengahkan kepada kerajaan. Kita mesti bantu rakyat. Jangan kita sombong apabila sudah menjadi wakil rakyat atau menteri, sebaliknya kita tumpukan perhatian kita untuk membela nasib rakyat.
“Selain itu, kita perlu sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk masa depan rakyat termasuk membawa kemajuan, pembangunan dan menyediakan kemudahan asas untuk mereka,” katanya kepada Bernama di sini.
Berkongsi lanjut rahsia dan formula beliau kekal relevan sehingga ke hari ini, Hajiji berkata setiap wakil rakyat perlu mewujudkan kerjasama dan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang agama, bangsa serta ideologi politik mereka.
Menurutnya wakil rakyat perlu mewakili semua penduduk dalam menyampaikan setiap aspirasi mahupun keluhan kepada kerajaan selain bersedia menyalurkan bantuan meskipun ada dalam kalangan rakyat tidak memilih mereka pada pilihan raya.
“Kita mesti sentiasa bersama rakyat. Dengar permasalahan mereka. Apabila rakyat jemput untuk menghadiri kenduri, saya datang ke rumah mereka… macam keluarga sendiri. Kita mesti ikhlas dalam memberi khidmat. Jangan kita berubah apabila sudah menjadi wakil rakyat atau menteri,” kata penyandang kerusi DUN Sulaman sejak tahun 1990 itu.
Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, berkata prinsip itulah yang beliau pegang sejak memulakan kerjaya politiknya secara serius ketika mula-mula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman di usia 34 tahun.
Kediamannya yang terletak di kawasan kampung di Tuaran, kira-kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu, walaupun ketika bergelar menteri kanan dalam kerajaan negeri, memberi peluang kepada Hajiji untuk lebih dekat berkhidmat kepada rakyat.
“Rakyat selalu berjumpa saya (di rumah) sehingga tengah malam, pagi pun ada. Ada yang datang minta sokongan dan bermacam-macam… Kita kena ambil tindakan. Mereka faham bukan semua boleh dilakukan, tetapi jika kita mesra dengan rakyat, insya-Allah mereka akan menyokong dan setia,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji yakin akan dapat mempertahan kerusi DUN Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini kerana rakyat telah melihat dan menikmati perubahan yang dibawanya terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur jalan raya, bekalan air bersih serta elektrik selain usaha memacu sosioekonomi penduduk seperti dalam bidang perikanan dan pelancongan.
“Saya yakin rakyat masih memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan segala perancangan program pembangunan yang belum dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, beberapa penduduk DUN Sulaman yang ditemui masih mahu mengekalkan Hajiji sebagai wakil rakyat mereka kerana beliau adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan murah hati.
“Beliau sangat cepat memberi bantuan kepada rakyat yang dalam kesusahan. Sentiasa sabar melayani rakyat yang bertemu beliau walaupun sehingga pukul 2 hingga 3 pagi. Beliau sangat mengambil berat tentang rakyatnya,” kata Noraidawati Noorzali dari Kampung Bolong.
Bagi Wileap Stephen, 32, dari Kampung Dungang, sikap Hajiji yang sentiasa melayani penduduk kampung dengan sangat baik menjadikan beliau terus relevan di hati mereka termasuk dalam kalangan golongan muda kerana pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakannya turut menitikberatkan pembangunan potensi belia.
Hajiji, yang merupakan calon Perikatan Nasional, akan dicabar oleh anak saudaranya sendiri iaitu Datuk Aliasgar Basri daripada Parti Warisan Sabah dan Datuk Rekan Hussein (PCS) dalam persaingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Sulaman yang mempunyai 11,711 pengundi pada PRN Sabtu ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Hajiji memperoleh 12,966 undi mengalahkan dua pencabar iaitu Abdullah Sani Daud (Warisan) yang mendapat 5,192 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah Arifin Harith (467 undi).
— BERNAMA