PUTATAN: Sabah dijangka terus menerima perhatian utama melalui peruntukan di bawah Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat terhadap usaha mengatasi jurang kemiskinan yang besar di Sabah.
Menurutnya, banyak daripada 10 daerah termiskin di negara ini terletak di Sabah, menjadikannya sebagai keutamaan bagi kerajaan Persekutuan.
“Keadaan di Sabah pastinya akan terus mendapat perhatian utama dalam perbelanjaan Persekutuan. Saya juga berusaha memastikan bahawa apabila dana itu diperuntukkan, ia dilaksanakan dengan baik supaya program itu berjalan dengan baik dan hasilnya dapat dituai dengan baik.
“Kalau tidak, kita akan secara berterusan mendapat peruntukkan dan kalau kita tak laksanakan dan diuruskan dengan cepat, maka masalah yang sedia ada ini akan jadi lebih teruk sebelum ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Rafizi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Kemas16 dan Pop25 di sini pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai jangkaan belanjawan yang akan diterima Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri.
Ketika diminta mengulas mengenai cadangan agar dana yang tidak digunakan dimasukkan ke dalam tabung amanah, Rafizi menjelaskan bahawa itu adalah salah satu cadangan yang dibawa.
“Setakat ini, kerajaan Persekutuan telah mengambil beberapa keputusan besar yang tidak pernah berlaku berkenaan peruntukan.
“Antaranya adalah penambahan kepada geran tahunan yang jauh lebih besar, tetapi mungkin kurang diketahui oleh rakyat. Contohnya, kerajaan Persekutuan juga telah memutuskan bahawa semua projek di bawah RM50 juta sebenarnya akan diuruskan oleh Sabah sendiri,” jelasnya.