KOTA BELUD: Penduduk-penduduk Kampung Timbang Menggaris, di sini, akan dapat berkumpul dalam keadaan lebih selesa di balai raya kampung mereka setelah menerima sumbangan kanopi dan 100 kerusi daripada Qhazanah Sabah Berhad (QSB).
QSB yang merupakan cabang pelaburan kerajaan negeri itu menyumbang kanopi dan kerusi-kerusi tersebut sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengerusi QSB, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Keruak menyerahkan sumbangan itu serta 200 pek makan tengah hari kepada Pengerusi Kemajuan dan Keselamatan Kampung Timbang Menggaris Taupik Apang.
“Harapan kami ialah sumbangan kecil ini akan memberi manfaat kepada rakyat Timbang Manggaris,” kata Salleh.
Beliau turut berharap sumbangan itu dapat membantu penduduk kampung dalam mempromosi aktiviti kemasyarakatan di balai raya itu khususnya yang melibatkan generasi muda.
Menurut beliau inisiatif CSR Qhazanah Sabah telah melibatkan pelbagai kumpulan dan komuniti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sejak wabak Covid 19, projek CSR kami pada asasnya tertumpu kepada penyediaan beberapa keperluan asas untuk barisan hadapan dan komuniti yang telah terjejas oleh wabak itu,” tambahnya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Ahmad Rizal Dahli dan pegawai pengurusan kanan lain.
Dalam lawatan mereka ke kampung itu, Salleh dan pasukan Qhazanah Sabah turut bertemu dengan golongan kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat di situ dan menyumbangkan peralatan perubatan, peralatan tempat tidur dan 45 bakul makanan, setiap satunya terdiri daripada barangan keperluan rumah. seperti beras, minyak masak, gula, tepung, dan barangan kebersihan diri.
Selepas bertemu penduduk kampung, Salleh melahirkan harapan agar sumbangan Qhazanah Sabah dapat membantu keluarga yang terjejas di kampung tersebut.