Qhazanah Sabah Dapat Hak Eksklusif Bangunkan Infrastruktur Telekomunikasi

Qazanah-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bahagian pelaburan strategik kerajaan negeri, Qhazanah Sabah diberi hak eksklusif untuk menerajui pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyaksikan perjanjian itu yang ditandatangani hari ini, bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Negeri, manakala Qhazanah Sabah diwakili oleh Ghazallie Ansing yang juga Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB) iaitu anak syarikat milik penuh Qhazanah.

Ketua Menteri berkata dengan perkembangan ini, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengatasi masalah kekangan sambungan internet dengan kemudahan telekomunikasi yang sangat diperlukan, terutama sekali di kawasan luar bandar.

Melalui CTTSB, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf lebih daripada 2,000 menara telekomunikasi dan membangunkan sebanyak 400 yang baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA).

CTTSB adalah salah satu pemilik dan pengendali menara bebas terbesar di Malaysia. Syarikat ini memiliki, mengendalikan dan menguruskan 257 menara telekomunikasi di Sabah berikutan pelantikannya untuk melaksanakan Projek TIME2 di Sabah sejak tahun 2005.

Turut hadir ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Haji Rusdin Riman; Pengarah Eksekutif Qhazanah Sabah, Haji Mohd Shukor Abdul Mumin; Ketua Pegawai Eksekutif Qhazanah Sabah, Ahmad Rizal Dahli; dan Ketua Pegawai Eksekutif CTTSB, Mikail Sungiau Abdullah. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top