Putrajaya Wajar Agihkan RM100 Bilion Peruntukan RMK12 Kepada Sabah

stephen-teo-STAR.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan harus mengagihkan kepada Sabah RM100 bilion peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) seperti yang dicadangkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ketua Bahagian STAR Karambunai, Kapitan Stephen Teo berkata, nisbah 50:25:25 yang dinyatakan Dr. Jeffrey selaku Ahli Parlimen Keningau dalam perbahasan di Dewan Rakyat itu adalah adil untuk membangun Sabah dan Sarawak sejajar dengan pembangunan di Semenanjung.

“Formula 50:25:25 merujuk kepada agihan 50 peratus untuk negeri-negeri di Semenanjung dan masing-masing 25 peratus untuk Sabah dan Sarawak,” kata Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Stephen, agihan RM100 bilion kepada Sabah adalah berdasarkan anggaran peruntukan RM400 bilion RMK12 di mana negeri-negeri di Semenanjung memperoleh RM200 bilion manakala Sabah dan Sarawak masing-masing memperoleh RM100 bilion.

Beliau menegaskan, formula tersebut adalah sejajar dengan pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke atas Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai tiga wilayah sama taraf dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

Jelas Stephen, formula pengagihan peruntukan 50:25:25 antara tiga wilayah sama taraf juga termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Beliau menambah, formula tersbut juga adalah berasaskan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dalam Keluarga Malaysia.

Menurut Stephen, Sabah khususnya memerlukan agihan peruntukan mengikut hak perlembagaan untuk mengatasi masalah kemiskinan di mana lapan dari 10 daerah termiskin di Malaysia terletak di Sabah.

“Sabah bukan saja menghadapi masalah kemiskinan tegar tetapi juga masalah kemudahan air terawat dan jalan gravel termasuk di kawasan perkadaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, DUN Darau dan DUN Inanam dalam kawasan Parlimen Sepanggar,” katanya.

Seperkara lagi kata Stephen, penyediaan kemudahan infrastruktur amat mendesak dilaksanakan di daerah-daerah bersempadan dengan Kalimantan berikutan pemindahan ibu negara baharu Indonesia ke Kalimantan Timur.

Beliau melihat perkara tersebut sebagai isu pembangunan kebangsaan, namun Sabah telah mengambil pendekatan proaktif meluluskan projek pembinaan jalan raya antara Serudong, Tawau dan Simanggaris, Kalimantan Utara.

Di samping projek Jalan Serudong – Simanggaris, katanya, projek serupa di antara Pagalungan Pensiangan dan Kabupaten Malinau, Kalimantan Utara perlu diambil kira untuk dilaksanakan.

“Kedua-dua projek jalan itu, Serudong-Simanggaris dan Pagalungan – Malinau dapat meletakkan Malaysia seiringan dengan Kalimantan, Indonesia dalam menawarkan tarikan pelaburan asing,” katanya.

Stephen percaya, pelaksanaan projek jalan raya lintas sempadan Sabah dan Kalimantan dapat meningkatkan lagi kepentingan Sabah dalam konteks BIMP-EAGA (Brunei Indonesia Malaysia Philippines – Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur). – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top