Putrajaya Perlu Terus Salur Peruntukan Tahunan Ke Kawasan Parlimen Pembangkang – STAR

STAR.jpg
Kongsi Bersama

KARAMBUNAI: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meminta Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil langkah proaktif meminta Putrajaya agar terus menyalurkan peruntukan pembangunan tahunan semua kawasan parlimen yang diwakili pembangkang.

Naib Presiden STAR, Kapitan Stephen Teo berkata, peruntukan tersebut dapat memberi tambahan dana kepada peruntukan tahunan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk melaksanakan projek-projek kecil dalam kawasan.

“Kita juga meminta agar peruntukan tahunan kawasan parlimen yang diwakili pembangkang ditadbir bersama parti-parti yang menjadi anggota gabungan GRS,” katanya.

Stephen yang juga Ketua Bahagian STAR Karambunai berkata demikian pada Ahad ketika menemui penduduk yang memerlukan pelbagai kemudahan kampung seperti perparitan, naik taraf jalan, kemudahan sukan dan tapak perniagaan.

Dalam majlis singkat di Kg. Kodoingan Malawa itu, Stephen menerima 90 keahlian baharu STAR yang merangkumi cawangan Kodoingan diketuai Cayus Lipaun, Mogiding (Nareus Sabinus) dan KKIP Malawa (Simpilisius Lipaun).

Menurut Stephen, beliau difahamkan Ahli Parlimen Kerajaan sebelum ini menerima peruntukan pembangunan tahunan kira-kira RM3.5 juta dan menyifatkan jumlah itu amat membantu dalam memenuhi permintaan penduduk.

Kata Stephen lagi, STAR Bahagian Karambunai turut memiliki jalinan kerjasama dengan ADUN Karambunai, Datuk Yaakub Khan untuk melaksanakan projek pembangunan penduduk namun maklum kewangan yang tersedia amat terhad. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top