MOSCOW: Sumber perisikan Russia mendedahkan Presiden Vladimir Putin hanya mempunyai tempoh selama tiga tahun untuk hidup.
Pegawai FSB memberitahu kanser yang dialami Putin ‘semakin teruk dan merebak’ sehingga menyebabkan daya penglihatannya semakin buruk, lapor Daily Mail.
“Dia memiliki waktu tidak lebih dari dua hingga tiga tahun untuk hidup.
“Kami diberitahu Putin menderita akibat sakit kepala dan ketika muncul di televisyen, dia akan bergantung kepada kertas yang ditulis dengan huruf besar untuk membaca apa yang akan dikatakan,” katanya.
Berita mengenai penyakit itu muncul daripada mesej rahsia yang dibongkarkan oleh bekas ejen FSB, Boris Karpichkov.
Ketika krisis Ukraine dan Russia belum berkesudahan, timbul pula spekulasi tahap kesihatan Putin yang dikatakan menghidap sakit kanser dan parkinson.
Sumber juga mendedahkan Putin enggan memakai kacamata kerana akan menonjolkan kelemahannya.
“Putin juga sukar mengawal kemarahannya dan hampir tidak mempercayai sesiapapun,” ujarnya.
Mengulas perkara itu, Ketua Perisikan Pertahanan Ukraine, Kyrylo Budanov mengesahkan sepenuhnya mengenai perkembangan kesihatan Putin yang semakin memburuk.
“Dia memiliki beberapa penyakit serius dan antaranya adalah kanser.
“Namun, tiada gunanya berharap Putin akan mati esok kerana setidak-tidaknya dia mempunyai masa beberapa tahun lagi untuk hidup,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menafikan spekulasi tersebut kerana tiada tanda-tanda menunjukkan Putin menderita sebarang penyakit.
Jelasnya, Putin yang akan berusia 70 tahun Oktober depan, kerap muncul di depan khalayak setiap hari.
“Anda dapat melihatnya di kaca televisyen, membaca dan mendengar ucapannya. Saya menyerahkan kepada hati nurani anda untuk menilai desas-desus itu,” tegasnya. – UTUSAN