Puteri UMNO Sandakan Bantu Keluarga Terjejas Sepanjang Tempoh PKPB

puteri-umno-sandakan.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Puteri UMNO Sandakan mensasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 20 keluarga terjejas setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah ini.

Ketua Puterinya Hajah Shaninah Sani berkata, bantuan berbentuk makanan asas itu dihulurkan kepada keluarga yang dikenal pasti terjejas dari segi pendapatan.

Katanya, ia sama ada keluarga terlibat terjejas berikutan premis pekerjaan ditutup semasa PKPB ataupun hilang pekerjaan.

“Terbaharu, kami telah menyerahkan bantuan ini kepada 20 keluarga yang tinggal di Kampung Forest, BDC, perumahan di belakang Bandar Letat Jaya serta perkampungan di TB Ward, Batu 2.

“Inisiatif ini akan berterusan sehingga PKPB di daerah ini tamat. Tujuan kita adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang terjejas.

“Kebanyakan yang terjejas ini kami kenalpasti melalui laman Facebook sama ada kami sendiri yang nampak mereka minta bantuan, ataupun kisah mereka memerlukan bantuan menjadi tular. Dari situ kami akan hubungi dan bantu mereka,” katanya.

Meskipun giat keluar masuk kampung, namun Shaninah berkata mereka sentiasa mengutamakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bertemu dan menyerahkan bantuan kepada penerima.

Katanya, ia termasuk mengehadkan bilangan ahli (Puteri) setiap kali program penyerahan bantuan diadakan.

“Kita sedia maklum bagi Sandakan yang termasuk dalam penguatkuasaan PKPB, hanya dua individu sahaja dibenarkan dalam satu kenderaan. Oleh itu, kami hadkan kehadiran Puteri hanya enam orang sahaja,” katanya.- Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top