Puteri UMNO perlu diberi peluang bertanding PRN17 Sabah

Datuk-Nurul-Amal-Mohd-Fauzi.jpg

Nurul Amal

Kongsi Bersama

TAWAU: Puteri UMNO perlu diberi peluang untuk diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, perkara itu perlu untuk menaikkan lagi semangat jentera sayap Puteri di negeri ini.

Katanya, pemimpin dalam kalangan sayap Puteri di Sabah juga mempunyai keupayaan untuk menang kerana mereka dilihat boleh merai pengundi muda yang semakin ramai ketika ini.

“Saya akan berbincang dengan pemimpin di peringkat atasan supaya mereka turut memberi peluang dalam kalangan sayap Puteri untuk bertanding pada PRN17 Sabah nanti.

“Sekurang-kurangnya wajib ada wakil sayap Puteri kerana ia akan memberi semangat kepada mereka untuk terus bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra UMNO Bahagian Kalabakan bersama Ketua Puteri UMNO Malaysia di Pejabat UMNO Kalabakan, kelmarin.

Nurul Amal berkata, kesiapsiagaan Puteri UMNO di Sabah sudah ditahap yang maksimum untuk menghadapi PRN17 akan datang.

“Jelajah saya ke Sabah kali ini juga untuk melihat kesiapsiagaan jentera Puteri di sini dan kami di peringkat pusat sangat berpuas hati dengan gerak kerja yang mereka sudah lakukan.

“Saya yakin Puteri akan memberi impak positif yang besar dan mampu menyumbang kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin UMNO di peringkat pusat untuk datang ke Kalabakan.

Katanya, kehadiran pemimpin sayap UMNO Pusat ini dapat memberikan semangat kepada jentera UMNO yang ada di Kalabakan.

“UMNO Kalabakan sejak dari dulu hingga sekarang memang sangat menyokong pergerakan atau aktiviti yang diprogramkan oleh kepimpinan sayap pusat khususnya Pemuda dan Puteri.

“Saya berharap jentera UMNO Kalabakan akan terus bersemangat untuk bekerja sehingga dapat menawan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan nanti,” katanya.

Samasuddin berkata, hari ini UMNO berhadapan dengan dinamika politik yang baharu kerana akan menghadapi banyak parti-parti baharu di negeri ini.

“Namun, ia memang sudah lumrah yang perlu dihadapi oleh UMNO dan kita perlu mengambil contoh perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO dahulu dalam mempertahankan parti keramat ini,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top