Putera Mahkota Arab Saudi Sambut PM Di Riyadh

PM-Riyadh.jpg
Kongsi Bersama

RIYADH: Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh pada Isnin malam bagi meneruskan program lawatan rasmi di Arab Saudi.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dari Madinah di Terminal Diraja disambut Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Raja Salman kira-kira jam 8.25 malam waktu tempatan (1.25 tengah malam waktu Malaysia).

Sambutan secara peribadi oleh Putera Mahkota di lapangan terbang bukan sesuatu yang lazim.

Malah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut berada di sini mengesahkan sambutan oleh Putera Mahkota Arab Saudi itu tidak dijadualkan lebih awal.

“Ini adalah petanda baik (bagi lawatan),” katanya tanpa mengulas lanjut.

Muhyiddin dijangka menghadiri beberapa program rasmi pada Selasa yang didahului dengam sambutan rasmi dan kemuncaknya ialah pertemuan secara maya dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud di Istana Al Yamamah, di sini.

Lawatan Perdana Menteri kali pertama sejak menjawat jawatan ke Arab Saudi adalah atas jemputan Raja Salman.

Perbincangan antara kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh mengenai kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, tenaga dan hal ehwal umat Islam termasuk berkaitan kuota haji dan umrah.

Selepas lawatan rasmi di sini, Perdana Menteri akan melawat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) esok sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 11 Mac.

Perdana Menteri dijangka bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top