Putatan Daerah Pertama Di Sabah Adakan Program Jualan Keluarga Malaysia

Jualan-Keluarga-Putatan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Putatan merupakan daerah pertama di Sabah yang mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri pada 2 Dis di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Program yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

Ia adalah kerjasama antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Kewangan serta agensi di bawahnya dalam menangani kenaikan harga barangan yang berlaku di negara dan global.

Program itu diadakan di perkarangan Majlis Daerah Putatan pada Sabtu dan ia merupakan satu kejayaan besar, kata Pengarah KPDNHEP negeri Georgie Abas.

Beliau berkata program itu akan diadakan dua kali sebulan di seluruh negara selama tiga bulan bermula 4 Dis dan akan meliputi semua 222 kawasan parlimen sepanjang tempoh itu.

Georgie menjelaskan program itu menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran tempatan.

Antara barangan yang dijual sepanjang program itu ialah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan diproses.

Agensi kerajaan dan rakan strategik daripada kalangan pemain industri yang terlibat dalam program itu ialah, KPDNHEP negeri, Koperasi Pembangunan Desa (KPD), FAMA, LKIM, Bataras, Nestle, Imbas Jaya, Sazarice Sdn Bhd, Kina Enterprise dan QL Resources Berhad.

Georgie berkata, program itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak bagi mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.

“KPDNHEP mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Kerajaan menyeru rakyat supaya bersabar dan kekal bersama kerajaan dalam masa sukar yang luar biasa ini yang turut menjejaskan rantaian bekalan nasional dan global,” katanya.

Tambahnya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada unsur pencatutan dalam pasaran.

Untuk sebarang pertanyaan dan aduan lanjut, orang ramai khususnya rakyat Sabah boleh menggunakan talian WhatsApp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui e-mel ke aduan@kpdnhep.gov.my.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top