KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata satu pusingan U sementara ada disediakan oleh kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo untuk kemudahan pengguna di sepanjang jajaran Sepanggar – Bulatan Berunggis yang sedang dalam pembinaan.
Justeru, tuduhan pembangkang bahawa kerajaan gagal menyediakan kemudahan itu adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tuduhan pembangkang juga boleh merencatkan kerja pembinaan di sepanjang lokasi itu, tegasnya.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau menerima aduan daripada pembangkang yang mengatakan tiada pusingan U di sepanjang laluan pembinaan Pan Borneo di Sepanggar sehingga ke bulatan Berunggis di Tuaran.
“Sebenarnya pusingan U sementara telah dibina dan dakwaan laluan sepanjang 12 kilometer tanpa pusingan U adalah palsu dan tidak berasas. Mereka ini tidak faham dan cuba mengelirukan rakyat,” tegasnya.
Sambil mengakui banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kontraktor yang melaksanakan projek ini, Bung Moktar berkata mereka tidak mengabaikan keselamatan dan keselesaan pengguna walaupun berada di puncak kesesakan.
“Saya berharap orang rama bersabar sepanjang tempoh pembinaan ini dan sentiasa mematuhi papan tanda amaran semasa memandu di sepanjang kawasan pembinaan,” katanya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Penasihat Masyarakat Cina Warisan Sepanggar pada Selasa, ia berkata terdapat kesukaran bagi pengguna trafik untuk menggunakan laluan alternatif di sepanjang bahagian Sepanggar ke bulatan Berunggis, kerana tiada pusingan U.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa ketiadaan kemudahan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk terutama pada waktu puncak dan meminta kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah itu.