KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan pusingan ketiga Sandakan Drag Battle 2024 di Sabah yang meragut nyawa seorang peserta dari Brunei kelmarin tidak diluluskan atau dikawal selia persatuan itu.
MAM dalam kenyataan memaklumkan penganjur perlumbaan juga bukan ahli kelab sukan permotoran negara.
“Acara dikawal selia MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang ditetapkan FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) berkaitan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan.
“Penganjur dan peserta ingin terlibat dalam acara permotoran harus pastikan acara tersebut diluluskan dan dikawal selia dengan menghubungi dan bekerjasama dengan MAM, iaitu badan induk secara terus.”
Menurutnya, bagi meningkatkan keselamatan dan profesionalisme sukan permotoran tempatan, MAM memperkenalkan garis panduan komprehensif untuk kategori perlumbaan drag pada Ogos lalu.
Katanya, garis panduan itu diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), meliputi aspek pengenalan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi sukan permotoran drag.
Perlumbaan di Sandakan itu menyaksikan kenderaan Honda yang dipandu anggota Team Prostreet KB, Abang Adib Abang Ali, 36, hilang kawalan lalu terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat.
Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent di Sandakan petang kelmarin.
MAM amat dukacita dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. – BERNAMA