Pusat Pengumpulan KPD Pertama Dirasmi Bulan Depan

dr-jeffrey-2.jpg

DSP Dr Jeffrey Kitingan (kanan) melawat ladang hidroponik Highland Agriculture Enterprise bersama Pengurus Besar KPD Jamilah Lee dan pemilik ladang Reagan Har (dua kanan)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pusat pengumpulan pengeluaran pertanian (APCC) pertama kendalian Perbadanan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) akan dibuka secara rasmi bulan depan.

Pusat pengumpulan itu akan dapat menampung sehingga 50 tan metrik produk pertanian bernilai tinggi seperti sayur-sayuran segar, buah-buahan dan bunga pada bila-bila masa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, pusat pengumpulan yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu diharap dapat menyelesaikan isu pemasaran dan membantu meningkatkan taraf ekonomi dalam kalangan petani sayur Kundasang.

“Petani tidak mempunyai saluran yang sesuai untuk memasarkan produk mereka, menyebabkan ramai yang mempunyai sedikit alternatif selain membuangnya. Ia adalah satu pembaziran masa dan wang bagi mereka.

“Selain itu petani tempatan kita sentiasa menjadi mangsa orang tengah yang membeli hasil mereka pada harga yang jauh lebih rendah dan ini mengurangkan pendapatan mereka.

“Oleh itu, pembinaan APCC di Kundasang adalah relevan dan tepat pada masanya supaya kita dapat memastikan petani kita sentiasa mempunyai pembeli di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk sayur-sayuran dan buah-buahan segar,” katanya selepas melawat APCC di Kundasang kelmarin.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata pembinaan APCC adalah selaras dengan matlamat Sabah Maju Jaya untuk meningkatkan ekonomi rakyat melalui sektor pertanian.

KPD juga telah membina dua lagi pusat pengumpulan di Kota Marudu dan Beaufort, yang kedua-duanya dijangka beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini. Tiga lagi pusat adalah di Telupid, Lahad Datu dan Keningau.

Keseluruhan projek membina kesemua enam pusat itu menelan belanja KPD RM13 juta.

Kesemua APCC milik KPD dilengkapi dengan kemudahan pemasaran seperti kawasan pengumpulan, sistem penggredan, penyejuk, pembungkusan, kemudahan pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan tambahan yang difikirkan perlu untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat petani tempatan.

“Sebelum ini, KPD hanya mempunyai peti sejuk kecil yang hanya boleh menyimpan 100kg sayur segar di Kundasang. Kerana kekurangan kapasiti penyimpanan, KPD terpaksa meluangkan lebih banyak masa untuk memenuhi tempahan kerana mereka perlu pergi mengumpul sayur-sayuran segar setiap kali,” katanya.

Terdahulu, beliau telah melawat ladang sayur-sayuran dan bunga hidroponik Highland Agriculture Enterprise. Ladang yang terletak di sebidang tanah seluas empat ekar di Mesilau, Kundasang itu ditanam dengan tanaman daun salad hijau dan ungu yang kian mendapat permintaan tinggi.

Ladang itu bukanlah satu-satunya ladang hidroponik di Mesilau; terdapat beberapa ladang lain yang serupa di sekitar yang telah menggunakan amalan pertanian yang lebih mampan.

“Ini adalah trend positif untuk industri pertanian kita kerana ia menunjukkan bahawa petani kita semakin sedar tentang keperluan pertanian mampan,” katanya.

Berita asal: Sabahnews

Foto: FB Jeffrey G. Kitingan

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top