Pusat Jantung Negara di Sabah, kerajaan Pusat fahami keperluan rakyat

CM-open-house-armizan.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Pusat Jantung Negara di Sabah adalah komitmen berterusan kerajaan Pusat bagi menjaga kepentingan kebajikan kesihatan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan Khususnya Perdana Menteri kerana memahami keperluan Sabah.

“Terima kasih memahami keperluan dan juga kepentingan rakyat kita di sebelah Wilayah Timur ini.

“Kita senang hati dengan pengumuman itu kerana ia akan memudahkan pesakit jantung di Sabah tidak lagi perlu dihantar ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, di sini hari ini.

Beliau berkata, Pusat Jantung Negara di Sabah sangat diperlukan kerana aspek kesihatan ini cukup penting kepada rakyat.

“Bukan sahaja kesihatan, pendidikan dan sebagainya, pihak kerajaan persekutuan amat memahami dan ini amat kita hargai,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Anwar ketika ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, mengumumkan peruntukan segera RM80 juta bagi mewujudkan Pusat Jantung Negara, di Sabah sekali gus menjadikan ia pusat rawatan jantung kedua terbesar negara selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Anwar berkata, penubuhan pusat itu berikutan kapasiti perkhidmatan kardiologi di Sabah adalah terbatas sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa mendapatkan rawatan sehingga ke Kuala Lumpur.

“Perkhidmatan kardiologi di Hospital Besar Kota Kinabalu (Hospital Queen Elizabeth 2) setakat ini ada klinik pakar, ada makmal kateterisasi invasif dan bukan invasif, ada dewan bedah kardiotorasik, ada tiga pakar dan 120 jururawat terlatih tetapi saya fikir ini tidak mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah.

“Maka dengan ini, saya umumkan bertempat di Kompleks Hospital Besar Kota Kinabalu, kemudahan khas iaitu blok khas untuk jantung negara yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara Sabah. Dengan ini kita akan tambah segera tiga orang pakar, sokongan terlatih,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top