Pusat Informasi Pelancong Akan Diwujudkan Di Tamparuli

jahid-tamparuli.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Pusat Informasi Pelancong (Tourist Information Centre) bakal diwujudkan di Tamparuli bagi menyalurkan maklumat mengenai pelancongan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemilik di sebuah bangunan yang terletak berhampiran tepi sungai Tamparuli, bagi tujuan tersebut.

“Kita melihat bahawa perlu wujud satu Pusat Informasi Pelancong bagi memberi penerangan tentang empat pusat-pusat pelancongan yang terdapat di kawasan Tamparuli, Kiulu dan sepanjang perjalanan ke tempat-tempat yang menarik termasuk di Ranau dan kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan kerja ke projek lukisan mural Linangkit di Jambatan Gantung Tamparuli, di sini pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar Sabah Tourism Board (STB), Julinus Jeffery Jimit, Penolong Pengurus STB, Dexter Randy dan Inchek Anam, yang mewakili Setiausaha Tetap KePKASS.

“Kita akan berunding dengan jabatan berkenaan (Jabatan Pertanian) untuk berbincang kemungkinan potensi kawasan ini boleh dibangunkan untuk Pusat Informasi Pelancong,” ujar beliau.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pusat itu nanti akan memudahkan para pelancong untuk mengetahui pelbagai maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang terdapat di seluruh daerah Tuaran, khususnya di Tamparuli dan Kiulu, termasuk juga kawasan pelancongan lain seperti Taman Negara Kinabalu.

“Ianya berfungsi untuk memberi ruang luas bagi tujuan promosi dan pemberian maklumat, malah membuka peluang pekerjaan, dan yang penting sekali tapak ini dapat digunakan semaksima mungkin untuk tujuan bermanfaat yang sangat besar,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berpendapat pusat informasi tersebut penting dan sesuai dibangunkan agar memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai tempat-tempat yang terdapat di Tuaran, khusunya Tamparuli dan Kiulu.

Terdahulu, Jahid dan Joniston turut mendengar taklimat ringkas Jambatan Gantung Pekan Tamparuli dan Bukit Perahu oleh Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tunggiging di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Tamparuli.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah Kecil Tamparuli, Jefferson Jonathan, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joana Sinteh.

 

Share this:


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top