KOTA KINABALU: PKR Sabah diberi kebebasan untuk membincangkan masa depan politik mereka, namun biasanya mereka akan merujuk kepada kepimpinan pusat untuk sebarang keputusan.
FMT memetik Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, sebagai berkata bahawa setiap cabang parti menyedari bahawa mereka tidak beroperasi secara terasing, dan setiap keputusan yang diambil pasti akan memberi kesan secara keseluruhan.
“Mereka boleh meneroka dan berbincang mengenai masa depan politik Sabah, tetapi dalam budaya yang ada, biasanya mereka akan berbincang dengan kepimpinan nasional sebelum membuat keputusan,” katanya kepada portal berita berkenaan berhubung pendirian PKR Sabah mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya negeri.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa sebarang perbincangan kerjasama dengan BN atau parti lain perlu dilakukan secara langsung dengan PKR Sabah, bukan melalui kepimpinan pusat.
Beliau menegaskan bahawa PKR Sabah mempunyai autonomi penuh dalam membuat keputusan mengenai kerjasama sebelum merujuk kepada kepimpinan pusat.
“Keputusan kami yang buat dan kami tahu siapa lebih sesuai bekerjasama. Kalau BN rasa boleh bekerjasama … datang jumpa kami, begitu juga dengan parti lain, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan sebagainya.
“Kita masih terbuka, cuma kita tidak mahu keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan …. Kami lebih tahu isu di sini, kami yang akan putuskan dan akan maklum dengan presiden PKR,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Menurut FMT, ketika kenyataan tersebut, Fuziah berkata, kenyataan Razeef itu sekadar respons peribadi beliau terhadap soalan yang diajukan pihak media.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya diberitahu bahawa PH Sabah juga akan memberi maklum balas sewajarnya berhubung isu tersebut.
Tambahnya, kepimpinan pusat memberi ruang untuk perkara ini dikendalikan oleh PKR Sabah sendiri, seiring dengan prinsip federalisme yang diamalkan dalam parti.
“Dalam semangat federalisme, saya akan membiarkan pemimpin PKR Sabah menyelesaikan isu mereka, dan kita akan menunggu mereka kembali kepada kepimpinan pusat PKR untuk mendapatkan nasihat jika perlu nanti.”