KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Sabah meminta kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap pihak yang masih degil untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Presidennya, David Chan berkata, pihaknya mendapati masih terdapat pihak mengabaikan arahan tersebut termasuk kes terbaharu yang menyaksikan sebuah pusat hiburan diserbu kerana membuka operasi kepada pengunjung.
Menurut beliau, pihak terbabit jelas mengambil ringan terhadap kepentingan pematuhan SOP dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak lagi boleh sekadar mengenakan kompaun sebaliknya memberikan hukuman lebih berat termasuk penjara.
“Kita mahu pihak yang seolah-olah mencabar arahan kerajaan ini dikenakan tindakan tegas kerana bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga boleh menyebabkan wabak Covid-19 terus menular dalam komuniti.
“Kita tidak mahu hanya kerana sikap segelintir pihak ini, seluruh sektor perniagaan, kedai-kedai makan dan penjaja kecil tidak dibenarkan beroperasi akibat wabak yang terus merebak,” katanya.
Beliau berkata, kadar wabak harian di Sabah masih tinggi iaitu 720 kes pada Isnin dan di Kota Kinabalu sahaja sebanyak 151 kes baharu Covid-19 dikesan yang jelas menunjukkan bahawa semua pihak perlu bekerjasama mengekang wabak Covid-19 itu.
“Adalah suatu yang mengecewakan apabila pemilik pusat hiburan tanpa rasa malu membuka operasi pusat tersebut dan saya yakin mereka ini tidak ada masalah untuk membayar kompaun.
“Oleh itu, jika kompaun tidak mampu memberikan pengajaran kita minta kerajaan mengenakan hukuman lebih berat dan setimpal ketika wabak yang masih berterusan hingga kini,” katanya.