SANDAKAN: Sandakan amat dikenali dengan produk eko-pelancongannya namun pelancong yang datang ke kawasan itu hanya tertumpu di Sepilok dan Kinabatangan selain Pulau Selingan serta kawasan tumpuan yang lain.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata pusat bandar Sandakan yang menyimpan khazanah warisan sejarah dilihat masih dipinggirkan dan kurang ditonjolkan di dalam pakej-pakej pelancongan tempatan.
Sehubungan itu Vivian berharap agar pengusaha pelancongan serta pemain industri pelancongan di Sandakan dapat terus mempergiatkan usaha mempromosikan pusat bandar Sandakan sebagai antara lokasi yang wajib dilawati dan dimasukkan ke dalam pakej-pakej pelancongan sedia ada.
Ini kerana katanya, pusat bandar Sandakan kaya dengan keunikan tarikan pelancongan warisan dan budaya.
Katanya antara yang boleh dipromosikan adalah jejak warisan Sandakan, laluan kreatif, tembok Sandakan, pasar umum Sandakan dan Trig Hill.
Pelancong juga boleh dibawa menjamu selera kulinari warisan di pusat bandar Sandakan seperti UFO tart, roti kahwin dan sudah pastinya hidangan makanan laut yang menjadi ikon Sandakan sejak dahulu lagi.
Beliau turut yakin dan optimis pihak Lembaga Pelancongan Sabah juga akan sentiasa memastikan Sandakan tidak terkecuali dalam agenda mempromosikan tarikan pelancongan di Sabah.
Vivian turut mengalu-alukan langkah memperkenalkan lebih banyak penerbangan secara terus ke Sandakan yang dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke bandar itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pesta Bazaar Seni Sandakan 2024 di Piazza, Harbour Square dan Laluan Kreatif Sandakan di bandar Sandakan, kelmarin.
Program ini turut dihadiri Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Wilson Thomas dan pemimpin setempat.
Vivian menyeru agar penganjuran program sebegini diteruskan dantidak terhenti setakat ini sahaja agar masyarakat tempatan mendapat peluang ekonomi selain merangsang lagi pertumbuhan industri pelancongan di pusat bandar Sandakan. – Nabalu News