Pukul, Sepak, Pijak Kepala Ibu Kerana Tak Dapat RM20

Pijak-ibu.jpg

Seorang anak dipercayai tergamak memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli dadah. - Foto Sinar Harian

Kongsi Bersama

TANAH MERAH: Seorang anak dipercayai tergamak memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli dadah untuk melampiaskan nafsu ketagihannya di Kampung Gual Jedok di sini pada Ahad.

Tindakan itu menyebabkan warga emas berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di kepala, dahi dan mata serta sakit pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di hadapan pintu rumah mereka.

“Ibu dan anaknya yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal berdua di rumah tersebut.

“Semasa kejadian suspek telah bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala mangsa.

“Kejadian tersebut telah dirakam oleh cucu wanita terbabit yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada keengganan warga emas berkenaan memberikan wang kepada suspek sehingga dia sanggup bertindak luar kawalan.

Ujarnya, sebelum ini juga suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering mengamuk meminta wang dengan mangsa.

Mohd Haki memberitahu, lelaki berkenaan yang merupakan bekas anggota tentera dan telah dibuang kerja pada tahun 2013 serta merupakan anak keempat daripada lima beradik.

“Ekoran daripada kejadian itu mangsa telah alami kecederaan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

“Suspek telah berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati dia telah mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

“Hasil ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah,” katanya.

Beliau memberitahu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top