Pukul Bung, Sindir Zahid?

PIct.jpg
Kongsi Bersama

1. Tidak bersetuju merupakan perkara lumrah dalam politik. Jadi keputusan 12 ketua bahagian UMNO yang bersusah payah mengadakan sidang media malam tadi bagi menyatakan penolakan mereka terhadap pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku jurumudi jentera BN dalam PRN Sabah bukanlah perkara pelik.

2. Yang tak berapa sedap cuma dua perkara; cara dan bahasa yang digunakan.

3. Sidang media itu kelihatan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Begitu juga dengan penolakan tersebut. Petang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Bung Moktar, awal malam telah diadakan sidang media itu.

4. Ia memberi gambaran seolah-olah mereka yang berkenaan tak berkenan sungguh pada Bung Moktar sehingga tidak boleh bersabar menanti sehingga keesokan hari. Kalaulah tindakan pantas seperti itu dibuat dalam menangani masalah rakyat, rasa-rasanya UMNO tidak akan merasa pengalaman menjadi pembangkang.

5. Bahasa yang digunakan pun saya rasa tidak begitu manis. Menggunakan perkataan seperti ‘penghinaan besar kepada rakyat Sabah’ (sebab melantik Bung Moktar) atau ‘a suicidal move’ (juga sebab melantik Bung Moktar) bukanlah bahasa yang manis. Ia seakan memberi gambaran yang Bung Moktar itu ‘teruk sangat’ orangnya.

6. Saya cuma bersetuju pada bahagian BN pusat sepatutnya menghormati hak autonomi yang telah diberikan kepada UMNO Sabah dan pucuk pimpinan sepatutnya berunding dahulu dalam soal pelantikan ini. Itu sahaja.

7. Tetapi ia bukanlah alasan yang cukup untuk sesiapa pun menampakkan reaksi balas yang seakan memberontak, lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO/BN patut merapatkan saf bagi menghadapi PRN nanti.

8. Bung Moktar belum didapati bersalah dan dalam prinsip moral, statusnya masih sama sahaja dengan kita semua. Bezanya dia cuma ada kerja lebih sedikit, perlu naik turun mahkamah.

9. Kalau logik yang digunakan untuk menolak Bung Moktar semata-mata kerana dia ada kes di mahkamah, apakah mereka yang berkenaan ini juga sedang cuba menghantar mesej yang sama kepada presiden UMNO sendiri, yang kebetulan berdepan dengan kes mahkamah juga – malah kesnya lebih banyak daripada kes Bung Moktar?

10. Apakah mereka sebenarnya sedang mencubit anak untuk menyindir menantu?

11. Bung Moktar sekadar mengemudi jentera BN Sabah untuk menghadapi PRN sedangkan Zahid mengemudi BN Malaysia. Kalau tak mahu Bung Moktar, takkanlah pula mahu Zahid?

12. Dan bagaimana dengan Datuk Seri Najib Razak? Statusnya lagi teruk sebab telah didapati bersalah. Adakah dia juga tidak layak turun berkempen di mana-mana pilihan raya?

13. Atau apakah sebenarnya ada maksud tersirat lain di sebalik ‘protes’ ini? Mungkinkah ada orang, disebabkan jauh sangat fantasinya, menjadi takut pelantikan Bung Moktar akan menyebabkan peluangnya untuk menjadi ketua menteri terjejas?

14. Apa pun alasannya, retak sudah bermula. Bola tanggung sudah dihantar ke gelanggang lawan. Dan kerana perangai sekumpulan dua seperti inilah akhirnya akan ada orang berkata itulah UMNO dahulu, kini dan selamanya. Cerdiknya kadangkala tak boleh diikut…

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top