Puad Tanya Asyraf, Apa Salahnya Rafizi Ditegur?

puad-asyraf.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zarkashi supaya tidak menyerang parti atau pemimpin lain dalam kerajaan perpaduan.

Ini berikutan kenyataan Puad sehari sebelumnya yang mengkritik prestasi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kerana gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan untuk memulihkan ekonomi.

“Jangan nanti rakyat kata Rafizi turun, ringgit naik,” katanya yang mengaitkan situasi itu dengan spekulasi mengenai rombakan kabinet.

Dalam kenyataannya Asyraf yang menyifatkan tindakan itu umpama ‘menembak kaki sendiri’ berkata Umno terikat dengan tanggungjawab secara kolektif kerana parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

Menerusi hantaran terbaharunya di Facebook, Puad mempertahankan tindakannya dengan bertanya, apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

“Apakah mendesak menteri supaya “perform” dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur? Kalau dia luar biasa, kerajaan perpaduan tambah kukuh,” katanya di Facebook.

Puad berkata, istilah “menembak kaki sendiri” hanya boleh digunakan pada pihak yang takut bersuara serta membiarkan kepincangan menteri terus berlaku.

“Apa maksud tembak kaki sendiri? Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

“Tembak kaki sendiri ialah bila menteri tidak perform, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu melemahkan kerajaan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top