PTI edar lebih 100g syabu dijel seumur hidup

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina tanpa dokumen (PTI) pada Khamis dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengedar 105.27 gram syabu.

Sisal Hasan, 36, seorang buruh didapati bersalah oleh Hakim Leonard David Shim melakukan kesalahan itu pada 5.10 petang 11 April 2019 di tepi jalan Lorong Bandar Putra 1C, Manggatal.

Dalam menyampaikan keputusannya, Leonard memutuskan bahawa mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya terhadap Sisal melampaui keraguan munasabah menurut subseksyen 182A(2) Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah mendapati tertuduh bersalah seperti didakwa dan mensabitkannya atas kesalahan yang didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup yang ditakrifkan sebagai penjara 30 tahun di bawah Seksyen 3 Akta Keadilan Jenayah 1953 dan 12 sebatan,” kata Leonard, yang memerintahkan Sisal menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 11 April 2019.

Sisal turut diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjaranya.

Pada 24 Feb tahun ini Sisal diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, pada 5 Ogos 2021.

Pertuduhan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sisal memberikan keterangan secara bersumpah dalam pembelaannya manakala pihak pendakwaan telah memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala Sisal diwakili peguam Mark Sitiwin.

 

Sumber: Harian Ekspress

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top