KOTA KINABALU: Persatuan Sama Sabah (PSS) mencadangkan Yang Dipertua Majlis Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS), Datuk Abdullah Sibil dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menggantikan Tun Haji Juhar Mahiruddin jika tempoh jawatannya tamat pada Disember tahun ini.
Portal berita Sabah360online melaporkan Setiausaha Agung PSS, Etong Terang berkata, Abdullah yang juga Presiden PSS dipilih mengetuai MAGEBS sejak tahun 2016 hingga sekarang memiliki aura kepimpinan dan disenangi oleh persatuan-persatuan etnik lain di Sabah.
Katanya, beliau menjadi penggerak utama kepada beberapa aktiviti dan program yang berkonsepkan permuafakatan antara etnik-etnik bumiputera di Sabah.
“Ketrampilan serta kredibiliti beliau berjaya menyatukan 34 ketua-ketua etnik bumiputera Sabah dalam MAGEBS. Situasi ini memberi impak yang cukup besar terhadap peningkatan nilai perpaduan serta keharmonian pelbagai kaum di negeri Sabah,” katanya.
Menurutnya Abdullah juga adalah presiden Dewan Usahawan Bumiputra Negeri Sabah (DUBNS) yang berjaya mengeratkan hubungan baik dengan kerajaan negeri dan NGO lain yang bernaung di bawah persatuan itu.
Abdullah pernah menjadi Pengerusi Rafflesia Medical Centre (RMC), Pengerusi A3 Education & Training, Pengerusi Boleh Borneo Oil & Gas Construction Sdn.Bhd, Pengerusi Enigma Borneo Sdn.Bhd dan pelbagai lagi jawatan dalam sektor yang berkaitan.
Berpengalaman sebagai penjawat awam selama 35 tahun Abdullah berkelulusan Diploma in Planting Industry and Management, ITM Shah Alam (1976), Bachelor of science Degree di University Of Louisiana, USA (1985) dan Master of Science Degree di Sam Houston State University, Texas (1986). Beliau juga adalah Graduate with Certificate of Distinction-Programme on Investment Appraisal and Management di Harvard University (1996).
“Kebijaksanaan serta toleransi adalah tunjang utama kepimpinan beliau, pengalaman dalam perkhidmatan awam, swasta, NGO dan korporat dan juga dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan menjadikan beliau menghargai permuafakatan dan perpaduan kaum,” kata Etong.
Menyifatkan tokoh itu sebagai ‘aset’ terbaik masa kini, PSS katanya, secara konsensus dan sebulat suara mencadangkan Abdullah dilantik sebagai TYT Negeri Sabah menggantikan Tun Juhar apabila jawatan tersebut tamat tempohnya Disember nanti.
Baru-baru ini, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mengemukakan cadangan supaya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dilantik sebagai TYT setelah Tun Juhar tamat tempoh perkhidmatan.
Cadangan itu menimbulkan kontroversi kerana Sabah tidak pernah mempunyai gabenor bukan Islam dari kalangan 10 penyandang jawatannya yang terakhir. Walaupun pakar telah bersetuju bahawa tidak ada peruntukan yang menyatakan gabenor mestilah seorang Muslim, mereka berkata secara realistik dan praktikal tidak mungkin seorang bukan Islam boleh memegang jawatan itu.