PSB Tolak Cadangan GPS Rayu Tarik Balik Darurat

Wong-Soon-Koh.jpg
Kongsi Bersama

Parti Sarawak Bersatu (PSB) menolak perbincangan tergesa-gesa sesetengah menteri kabinet Sarawak untuk mengadakan pilihan raya negeri ke-12 (PRN) itu di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata jika kerajaan negeri mahu mengadakan PRN Sarawak apabila penularan wabak terkawal nanti maka pimpinan GPS akan mempertaruhkan kesihatan dan kehidupan rakyatnya sekali lagi.

Wong mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing kelmarin selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Kabinet Negeri bermesyuarat pada Rabu, 21 Januari.

Masing berkata anggota kabinet Sarawak berbincang “secara tidak formal” bercadang mahu merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik perisytiharan darurat di negeri itu sekiranya ia dapat mengawal penularan Covid-19.

Kata Masing, jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik maka ia akan membuka jalan untuk mengadakan PRN12 kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir Jun ini.

Mengulas lanjut, Wong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bawang Assan berkata dia tidak percaya kerajaan negeri masih memikirkan soal pilihan raya ketika negara berdepan dengan peningkatan jangkitan kes Covid-19.

Wong berkata pada saat ini kerajaan negeri sepatutnya menumpukan perhatian memerangi Covid-19 dan tampil dengan usaha serta langkah-langkah membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak berbahaya itu.

Bagaimanapun, kata Wong yang telah menjadi Adun selama enam penggal dan pernah menganggotai kabinet Sarawak selama 15 tahun, GPS telah mengambil langkah yang salah, yang memungkinkan mereka kembali menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali gus akan mengakibatkan gelombang baharu Covid-19.

“Sekarang saatnya untuk menerapkan SOP yang lebih ketat untuk menghentikan pandemik ini dan tidak mengubah dasar dan peraturan yang dapat menimbulkan kekeliruan di antara masyarakat, atau lebih buruk lagi, orang semakin kecewa dengan berbagai langkah yang diambil oleh kerajaan,” katanya.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagian terancam.

Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, antara lain, memperuntukkan larangan mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top