PRU15: Warisan Tolak Dakwaan Mahu Tanding Semua Kerusi Parlimen

awang-ahmad-sah-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan menolak dakwaan bahawa ia akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Warisan Datuk Awang Ahmad Sah berkata, presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya menyatakan parti itu berkemungkinan bertanding di Semenanjung.

Bagaimanapun, tegasnya, Shafie tidak menyatakan jumlah kerusi mahupun kawasan yang disasarkan dalam temubual dengan beberapa wartawan baru-baru ini.

“Warisan, baru-baru ini, menyatakan kesediaan untuk bertanding di kawasan tertentu di Semenanjung bagi PRU15 dengan kerjasama parti MUDA. Ini dinyatakan Presiden (Shafie) dalam sesi Zoom bersama The Concorde Club yang terdiri daripada wartawan-wartawan kanan di Malaysia.

“Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi kerana perkara ini masih dalam perbincangan,” katanya.

Beliau kesal kenyataan Shafie dalam temubual itu diputar belit oleh pihak tertentu untuk memfitnahnya dan Warisan.

“Perkara itu telah menarik perhatian ramai, khususnya pemerhati dan pengikut perkembangan politik sehingga ada yang sanggup menabur fitnah di media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada PRU15,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top