PRU15: Warisan Lancar Jentera Pilihan Raya di Tenom 22 Okt Ini

awang-ahmad.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kemelut politik tanah air yang tiada kesudahan perlu ditamatkan dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Ekoran tarikh pilihan raya umum yang semakin hampir, Parti Warisan (Warisan) akan melancarkan jentera pilihanraya di Tenom Yun Lee Food Court pada 22 Oktober ini, jam 10.00 pagi dan orang ramai dijemput hadir.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata Warisan sentiasa bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

“Jentera parti serta pusat daerah mengundi (PDM) di setiap Parlimen telah dibentuk bagi menggerakkan gerak kerja memenangi seberapa banyak kerusi pada pilihanraya ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Parti itu sekali lagi memberi bayangan akan bergerak secara solo bagi menghadapi PRU-15.

“Pendirian Parti Warisan cukup jelas sepertimana yang telah berulangkali disampaikan oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam siri jelajah beliau bahawa Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata semua pengundi di Sabah harus memilih Warisan demi kemajuan dan kestabilan politik.

Beliau menegaskan rakyat Sabah amat dahagakan pembangunan dan tidak mahu diheret dalam kancah kecelaruan politik di Semenanjung Malaysia akibat pergeseran antara gabungan parti utama di negara ini yang rakus kuasa.

“Rakyat negeri Sabah dahagakan pembangunan. Rakyat Sabah tidak patut diheret dalam kancah ketidakstabilan politik di Semenanjung Malaysia akibat kerakusan merebut kuasa di antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Parti Warisan yang sebelum ini memerintah kerajaan negeri selama 26 bulan telah terbukti berjaya membawa perubahan besar dalam menuntut hak hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Malangnya, tempoh pemerintahan Kerajaan Warisan tidak dapat bertahan lama akibat tindakan lompat parti katak-katak politik yang akhirnya mengakibatkan Kerajaan Warisan tumbang,” katanya.

Awang Ahmad Sah berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan menggambarkan sebuah gabungan parti tempatan kerana ia diasaskan dan diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Presiden UMNO juga dalam kenyataannya semalam mengatakan bahawa GRS akan menyokong calon calon BN.

“Ini jelas menunjukkan bahawa GRS gagal memahami aspirasi rakyat yang telah mentalkinkan UMNO BN pada PRU ke 14 lepas.

“Langkah Sheraton yang diterajui bersama PPBM dan UMNO telah mengakibatkan politik dan ekonomi negara menjadi huru-hara dan akibatnya, rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya,” tegasnya.

 

Berita asal: Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top