PADANG TERAP: UMNO dalam proses memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, badan perhubungan UMNO negeri-negeri sudah mula menghantar senarai calon berkenaan untuk dimuktamadkan di peringkat tertinggi parti itu.
“Senarai calon ini sudah mula dikemukakan ke ibu pejabat oleh badan perhubungan UMNO negeri-negeri dan selepas itu senarai akhir adalah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan di peringkat tertinggi untuk muktamadkan.
“Pengerusi BN Kedah misalnya dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. (Begitu juga) Perak, Perlis atau negeri mana-mana saja kita bincang. Muktamadnya, di situlah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di Kuala Nerang di sini pada Ahad.
Menyentuh tentang kategori calon-calon UMNO atau BN, kata Mahdzir, perkara itu bergantung hasil perbincangan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing bersama kepimpinan tertinggi parti dan gabungan berkenaan.
“Di sana kita akan bincang dan akan tentukan kerana yang kemukakan itu UMNO negeri. Proses sedang berjalan, biasalah akan ambil yang (calon) berumur, berpengalaman, graduan semua itu berada dalam senarai dan ciri-ciri biasa pada pilihan raya ini.
“Kita cari dari situlah (sama ada) yang berpengaruh, tak berpengaruh, Okay ka tak okay, macam-macamlah (faktor),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tarikh PRU15 akan ditetapkan oleh Perdana Menteri kelak setelah dibincangkan bersama pemimpin utama parti.