KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak bersabar menunggu tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkannya bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan walaupun Umno memaklumkan ia akan dibubarkan tahun ini.
“Tunggu dulu…Tunggulah kalau dari tahun lepas sudah tunggu tahun ini boleh tunggu juga,” kata perdana menteri selepas menghadiri perhimpunan khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di pusat pameran dan konvensyen Matrade.
FMT melaporkan perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Umno supaya Parlimen dibubarkan secepat mungkin, Ismail Sabri berkata ia bukan perkara baharu.
Beliau memberi jaminan mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu tidak lama lagi.
“Dari dulu Umno minta percepatkan pilihan raya, bukan baru cakap. Kita nak kembalikan kepada rakyatlah untuk buat penentuan (pilih pemimpin kerajaan baharu),” katanya.
Ditanya sama ada Umno menetapkan syarat kepadanya untuk menetapkan tarikh bila pilihan raya diadakan, beliau berkata “tidak ada sebarang syarat diletak Umno untuk saya buat keputusan bubar Parlimen”.
“Tidak ada (syarat Umno)…Kita dari segi Umno ada ‘top 5′, ada biro politik, tak ada siapa beri sebarang syarat. Kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah cuma tarikh itu tunggulah pengumuman,” katanya.
Menurut FMT lagi, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno berkata, pendiriannya selaras dengan apa diumumkan setiausaha agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.
“Semalam (malam tadi) Ahmad sudah buat ‘statement’ (kenyataan) jadi kita pakai statement dia sebagai setiausaha agung, sebab kita dah putuskan dalam MKT, ‘spokesman’ (jurucakap) dia seorang saja,” katanya.
Dalam kenyataan malam tadi Ahmad berkata, Umno mencapai konsensus pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.
Beliau berkata, perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.