PRU15: PKR Sabah Sedia Bekerjasama Dengan Warisan

christina.jpeg

TAWAU: PKR Sabah mengalu-alukan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata kerjasama sebegitu penting dalam membentuk pakatan politik yang kukuh bagi menghadapi lawan sama seperti PRU14 iaitu kerjasama antara Warisan Plus dan Pakatan Harapan Plus.

“Ada cakap-cakap bahawa Warisan akan turun ke gelanggang bersendirian tetapi pendirian kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama politik kerana sudah tiba masanya kita tidak boleh bertanding bersendirian tetapi perlu bersama (dengan parti lain) untuk membina kekuatan.

“Lawan kita bukan anak kecil tetapi agak kuat, jadi kita perlu bersatu untuk membolehkan kita fokus dan memenangi kerusi. Harapan kami adalah untuk menang semula…sebagai kerajaan negeri. Politik itu unik manakala parti politik sentiasa ada pilihan,” katanya kepada pemberita selepas program pengagihan juadah berbuka puasa, di sini pada Ahad.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi parlimen Tawau pada PRU15, Liew berkata beliau berharap demikian.

Liew turut berterima kasih kepada pejabat Pusat Khidmat Kawasan Parlimen Tawau kerana bekerja keras dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Liew juga berkata PKR Sabah masih belum menentukan jumlah kerusi yang akan ditandinginya pada PRU15 dan akan membincangkan perkara itu dengan rakan lain dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, Amanah dan UPKO.

Pada masa ini, PKR mempunyai dua kerusi parlimen di Sabah iaitu Tawau (disandang oleh Liew) dan Putatan (Awang Husaini Sahari). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top