PRU15: Ma’mun Serah Pada Presiden Tentukan Calon

maamun-sulaiman.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’Mun Sulaiman menyerahkan kepada presiden Parti Warisan (WARISAN) menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Katanya, Datuk Seri Panglima, Mohd Shafie Apdal seorang yang berjiwa besar dan tahu apa yang terbaik untuk parti.

“Sekiranya tidak dicalonkan pada PRU nanti, saya akan setia dan tetap membantu parti kerana WARISAN adalah satu wadah yang terbaik untuk membela nasib rakyat.

“Justeru, terpulang kepada presiden mahu memilih calon terbaik untuk parti dan saya tidak terlalu risau pasal calon Parlimen Kalabakan,” katanya ketika ditemui media, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semua jentera mampu bertahan dengan parti WARISAN disebabkan hala tuju yang digariskan oleh presiden sangat baik dan ikhlas membantu rakyat.

Dalam pada itu, Ma’Mamun berkata, semua jentera parti di Kalabakan juga sudah bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

Katanya, jentera WARISAN sudah lama bersedia kerana aktiviti turun padang dan menyantuni rakyat memang kerap dilakukan dari dulu lagi.

“Walaupun berada dalam kem pembangkang dan kekurangan peruntukan yang diberikan, tetapi ia tidak menghalang untuk berkhidmat dengan penduduk di kawasan Kalabakan.

“Tidak semestinya tiada peruntukan, kita tidak boleh buat kerja kerana rakyat mahu melihat pemimpin yang sanggup membela mereka bukannya habuan semata-mata,” katanya.

Ma’Mun turut meluahkan rasa syukur kerana WARISAN mempunyai jentera yang setia dan bekerja keras tanpa mengharapkan ganjaran.

“Aktiviti berjumpa rakyat adalah perkara rutin yang saya dan jentera parti lakukan selama memenangi kerusi Parlimen Kalabakan.

“Kita akan cuba membantu menyelesaikan masalah rakyat, terutamanya mereka yang terjejas pendapatan sejak pandemik COVID-19,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top