KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) Sabah tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) akan datang, kata Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata berkata perbincangan bersama GRS mengenai kerjasama itu masih diteruskan, termasuk dalam usaha memastikan tidak ada pertembungan berlaku antara kedua-dua gabungan parti politik tersebut, pada pilihan raya berkenaan.
“Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Jadi, kita tidak pastikan confirm atau tidak, tetapi kemungkinan untuk bekerjasama memang ada.
“Perbincangan sudah dilaksanakan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan. Bagaimanapun, kita belum dapat memuktamadkannya kerana kita akan melihat dahulu sokongan rakyat akar umbi, bagaimana kekuatan BN.
“Ini kerana, kalau kita mahu berkongsi dengan mana-mana pihak, sudah tentu kita mesti ada kekuatan. Kalau kita tidak ada kekuatan, orang lain tidak mahu bekerjasama dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Biru BN serta Jentera BN Kota Belud dan Tuaran di sini, pada.
Baru-baru ini, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor juga Ketua Menteri dilaporkan berkata BN dan UMNO Sabah secara prinsip bersetuju untuk bekerjasama dengan GRS pada PRU15.
Hajiji berkata langkah seterusnya adalah perbincangan pembahagian kerusi dan semua ahli parti dinasihatkan supaya bersikap realistik, kerana Sabah hanya memiliki 25 kerusi Parlimen yang perlu diagihkan secara sama rata antara rakan kongsi.
Bung Moktar berkata pihaknya juga akan memastikan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti dilakukan atas prinsip menang-menang.
Sementara itu, Bung Moktar berkata BN Sabah telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi diketengahkan bagi mewakili parti pada PRU15, dan pihaknya sedang dalam proses menghantar senarai nama tersebut kepada BN pusat.
“Tetapi saya belum mahu maklumkan sekarang. Sebetulnya yang memilih calon adalah BN Sabah, bukan dari Kuala Lumpur. Cuma lazimnya, watikah diberikan oleh Pengerusi BN. Jadi jangan bimbang, memang kita yang memilih calon,” katanya.
Mengenai program tersebut, Bung Moktar berkata, ia akan diteruskan ke seluruh Sabah bagi meningkatkan momentum sokongan ahli akar umbi BN di negeri itu, sebagai persediaan menghadapi PRU15.
“Saya cukup yakin dengan kerja keras, usaha dan strategi tepat, BN masih relevan dan diterima oleh rakyat. Dalam pilihan raya nanti, kita akan mencadangkan beberapa manifesto untuk dimasukkan dalam mansifesto (BN) kebangsaan untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
— BERNAMA