PRU Parlimen Padang Serai: Calon BN Pula Minta PH Beri Laluan

C-Sivaraj.jpg

Calon BN, Datuk C Sivaraj

Kongsi Bersama

PADANG SERAI: Pakatan Harapan (PH) diminta untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai berikutan peluang BN untuk menang dilihat lebih cerah di kawasan itu, lapor Berita Harian.

Calon BN, Datuk C Sivaraj, berkata ini berikutan beliau sudah bekerja keras lebih tiga tahun di Parlimen itu dan kebanyakan pengundi mengenali beliau.

“Mereka (PH) yang sepatutnya beri laluan kepada kita sebab saya sudah tiga tahun bekerja di sini. Saya kenal kebanyakan pengundi di sini.

“Jadi, peluang kemenangan bagi saya lebih cerah dan lebih baik berbanding pihak lain. Itu kalau ikut calon. Kalau ikut ideologi politik parti, saya tidak tahu bagaimana unjuran yang akan dibuat,” katanya yang ditemui ketika berkempen di luar pekarangan Kolej Tingkatan Enam, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan PH memberi laluan kepada calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Sivaraj berkata, setakat ini, beliau belum dihubungi oleh kepemimpinan BN berhubung perkara itu dan akan terus berkempen seperti biasa.

Kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru, membabitkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Datuk Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional (PN); Hamzah Abd Rahman (PEJUANG); Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH, yang juga penyandang, M Karupaiya, meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 selepas menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (PAS).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian baharu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top