PRU 15 : Umno Sabah Sasar Kerusi PRU 15 Tidak Kurang Dari Sasaran Pada PRU 14

IMG-20210214-WA0006.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

KOTA KINABALU: Umno Sabah meletakkan sasaran untuk bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang tidak kurang dari sasaran pada PRU 14, termasuk kerusi untuk BN.

Ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata mengikut fakta pada PRU 14 lepas Umno diberikan 14 kerusi Parlimen untuk ditandingi iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan,

Menurut beliau sasaran ini berpandukan kepada kajian parti melalui Jabatan Urusan Pilihanraya(JUARA) Umno Sabah di mana sekretrariat penyelidikan yang di pengerusikan oleh Ir.Shahelmey Yahya bersama jawatankuasa akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat kepada Umno bagi kerusi yang dituntut.

“Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan keputusan kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi oleh Umno, ” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat JUARA Umno Sabah di bangunan Umno, di sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan, Pengerusi JUARA Umno Sabah yang juga Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Pengarah Pilihanraya PRU ke-15 Datuk Sri Dr Salleh Tun Said.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata dalam soal agihan calon-calon yang bakal bertanding pada PRU ke-15 akan datang perundingan awal bersama BN dan GRS perlu dilakukan secara telus berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing dan ia perlu diputuskan lebih awal tidak menunggu saat-saat akhir menghadapi PRU tersebut.

“Dalam PRU 15 kita nak menang untuk tubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah, mesti diteliti setiap kerusi, geopolitik, kehendak pengundi dan lokaliti, ” katanya.

Terdahulu Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengadakan perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri dari Umno dan selepas itu turut mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Sabah.

Semasa perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri dari Umno Bung turut mengingatkan mereka agar lebih proaktif turun padang menangani masalah rakyat terutamanya ketika pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di mana kebanyakan rakyat di luar bandar terjejas dan memerlukan bantuan.

“ Saya harap semua wakil rakyat Umno mengekalkan memontum untuk terus bekerja dan bersama rakyat sejak diangkat menjadi wakil rakyat bukannya berkerja ketika dekat pilihanraya” katanya.

Bung turut memberitahu mesyuarat bahawa satu sambutan 30 tahun Umno melebarkan sayapnya ke Sabah akan diadakan pada 20 Febuari ini dengan perhimpunan secara sederhana mengikut SOP yang ditetapkan dan ia akan diadakan di Bangunan Umno Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top