PRU 15: PAS Sabah Perlu Bertanding Kerusi Parlimen

Hendri-Hamsah.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Aizal Samsaruddin

SANDAKAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyeru agar PAS Pusat khususnya Dewan Pemuda PAS Malaysia membantu PAS Negeri Sabah meletakkan calon melalui rundingan kerusi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus bertanding dalam PRU15.

Langkah itu adalah atas semangat setiakawan dan pengorbanan yang perlu diberikan oleh parti-parti rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap PAS sebagaimana yang telah dilakukan parti itu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

Kenyataan tersebut ditegaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke 62, di Port Dickson kelmarin.

Tambahnya, DPPNS juga ingin menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menampilkan calon-calon anak muda tempatan yang terdiri daripada pemimpin pemuda sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan.

“Kami juga berkomitmen penuh untuk menggerakkan seluruh jentera pemuda PAS bagi memastikan kemenangan PAS dalam PRU15,” katanya.

Terdahulu Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-kawasan di Negeri Sabah yang berlangsung pada pertengahan Oktober lalu telah menyatakan usul  untuk bertanding dalam PRU15. Antara kawasan-kawasan yang menyuarakan usul berkenaan adalah Sandakan, Keningau, Putatan, Kalabakan, Tawau, Batu Sapi, Kota Belud dan sebagainya.

Mengulas perkara itu, Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu dalam satu kenyataannya menyebut pihaknya sedang memperkemas jentera muslimat disemua peringkat termasuk muslimat kawasan malahan turut bersedia menghantar calon muslimat sekiranya diarahkan.

“Muslimat PAS Sabah juga telah melancarkan jentera HalWa dalam satu majlis pelancaran pada 12 September yang lalu sebagai permulaan langkah persediaan jentera pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ulamak PAS Sabah, Barbar Abbas dalam satu kenyataannya juga turut menyokong dan menyambut baik cadangan yang akan dikemukakan dalam muktamar PAS Pusat.

“PAS Sabah sudah mempunyai jentera yang cukup dan kukuh untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Kami juga meminta agar rakan dalam GRS memberikan sedikit ruang buat PAS Sabah bertanding dalam PRU15 sekurang-kurangnya 5 kerusi tradisi PAS Sabah,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top