Proses Dokumen Terlalu Lama Punca Lewat Usir Pendatang – KP imigresen

khairul-KP-Imigresen.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Tempoh masa terlalu lama yang diambil oleh kedutaan negara asal bagi prosedur pengeluaran dokumen perjalanan menjadi punca kelewatan pengusiran warga asing di Sabah, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (gambar).

Katanya, walaupun sempadan telah dibuka tahun ini, kebanyakan pendatang yang menunggu lama, merupakan mereka ditahan di depoh tahanan pada 2020 lagi iaitu sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Terdapat 15,166 warga asing sedang ditahan di depoh tahanan Imigresen di seluruh negara dan daripada jumlah ini. Di Sabah terdapat 7,200 ditahan di depoh tahanan dengan kira-kira 6,000 adalah warga Filipina.

“Pengusiran kini akan terus dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ada sekarang, iaitu warga Filipina melalui pelabuhan di Sandakan ke Zamboanga dan Indonesia melalui pelabuhan di Tawau ke Nunukan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses pengusiran pendatang Filipina di sini pada Selasa.

Dzaimee turut mengakui, kesesakan dialami di semua empat depoh tahanan Imigresen di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu, sehingga pernah mencecah 8,000 tahanan daripada kapasiti keseluruhan iaitu 7,200 sepanjang pandemik itu melanda.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengurusan depoh berkenaan dilaksanakan dengan baik.

“Kementerian Dalam Negeri sebenarnya telahpun meluluskan pembaikan segera untuk keempat-empat depoh tahanan ini, di mana jumlah wang (peruntukan) sebanyak RM500,000 untuk setiap satu depoh akan diberikan.

“Pembaikan akan memberi fokus kepada membaiki longkang tersumbat, membaiki sambungan elektrik yang mengalami kerosakan dan juga menampal bumbung bocor,” katanya.

Sementara itu, pengusiran warga asing malam ini melibatkan seramai 750 pendatang Filipina terdiri daripada 638 lelaki, 81 wanita, 30 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan seorang bayi berumur 23 bulan.

Dzaimee berkata, dalam tempoh dua minggu lagi, seramai 500 lagi pendatang Filipina akan diusir melalui pelabuhan yang sama.

Beliau turut memberitahu seramai 22,448 pendatang telah diusir pada tahun ini, melibatkan Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top