KEMABONG: Projek tebatan banjir di dua lokasi iaitu Kuala Tomani dan Batu 10 Kampung Paal, Kuala Sungai Api, dperlu dilaksanakan segera bagi mengelak kerosakan jalan raya yang lebih teruk.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, projek bernilai RM11 juta itu juga bertujuan mengelakkan penduduk terputus hubungan sekiranya berlaku banjir kerana jalan utama Batu 10 Kg. Paal menghubungkan Kemabong dan Tenom.
Katanya pelaksanaan segera projek itu penting kerana kerosakan jalan raya yang lebih teruk akan meningkatkan kos pembaikan.
“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM11 juta bagi pembinaan dua projek tersebut dalam belanjawan tambahan 2022 negeri Sabah,” katanya semasa Pesta Kalimaran Kali Ke-18 Peringkat Negeri Tahun 2022 di Datan Kemabong, di sini, pada Khamis.
“Dijangkakan seramai 5000 penduduk di sekitar Kg. Kuala Tomani akan mendapat manfaat sementara tiga lagi projek tebatan banjir akan dimasukkan dalam peruntukan tahun 2023,” jelasnya.