Projek Tagal Kampung Sosogoh pelihara ekosistem, buka peluang ekonomi

Arthur-Tagal.jpg
Kongsi Bersama

NABAWAN: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini merasmikan Program Rintis Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) Projek Tagal Komuniti Kampung Sosogoh, Pagalungan, di sini.

Tagal Komuniti Kampung Sosogoh telah disenaraikan bagi menerima suntikan pengukuhan dibawah Program Rintis PINTAR Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Bantuan sejumlah RM30,000 diperuntukkan bagi kegunaan pembelian lima unit solar, 20 beg makanan ikan, 100 unit kerusi plastik, dan empat unit tong sampah serta bahan binaan tandas awam.

Arthur menekankan pentingnya inovasi dalam mengukuhkan rantaian nilai sektor agromakanan negara.

Menurut beliau, sistem tagal yang diterapkan di Kampung Sosogoh tidak hanya bertujuan untuk memelihara ekosistem sungai, tetapi juga untuk memperkasa komuniti melalui peluang ekonomi yang wujud dari program tersebut.

“Tagal Kampung Sosogoh mempunyai potensi tinggi menjadi daya tarikan kepada pelancong kerana selain kedudukan kawasannya yang strategik, ia merupakan satu-satunya tagal yang berjaya menjinakkan ikan mereka di Pensiangan,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, turut diadakan pelepasan benih ikan lampam sungai sebanyak 2,850 ekor bersaiz 4 inci bernilai RM10,000.00 sumbangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bertujuan memulihara spesies ikan untuk konservasi, meningkatkan populasi dan  memulihara kepelbagaian biodiversiti.

Jabatan Perikanan Sabah juga menyampaikan sumbangan kepada 12 Jawatankuasa Tagal sedia ada iaitu bantuan berupa solar, tong ais, pukat, rambat, tikar kanvas dan papan tanda.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM; Dato’ Haji Adnan Hussain, Ketua Pengarah DOF; Azhar Kassim, Pengarah Perikanan Sabah;  Hasinin Kinsim, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan, dan Akat Ampaul, Pengerusi Tagal Kampung Sosogoh.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top